Sila tinggalkan jejak kat bawah ni =D

Pages

Saturday, May 15, 2010

Kisah benar dr Indonesia...best!

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah sebanyaknya dari prasangka, kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah di antara kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah kamu suka memakan daging saudaramu yang mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat, maha penyayang.

(Al-Hujurat:12)
.....

Dikisahkan pada suatu ketika dahulu, pada zaman kegemilangan Islam wali Songo di Indonesia masyarakatnya dikhabarkan sangat taat kepada ajaran dan cara hidup Islam. Mereka mempraktikkan Islam dalam semua aspek kehidupan, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara. Hatta bersangka baik (husnu dzon) terhadap manusia lainnya juga diberi perhatian dan menjadi gaya kehidupan mereka.

Dikisahkan juga pada zaman ini, hidup seorang pemuda kacak anak kepada kiyai di satu kawasan di tanah Jawa. Walau bapanya adalah kiyai dan ibunya adalah seorang yang solehah, namun pemuda ini tidak pula mewarisi kewarakan ibu bapanya. Dia hidup sebagai seorang Muslim yang nakal dan lalai. Dia banyak menghabiskan masanya dengan perkara sia-sia, mengusik orang di tepi jalan dan bersuka ria dengan pria-pria sebayanya di kampung itu. Puas ibu bapanya memujuk dan mengingatkan dirinya untuk berubah ke arah gaya hidup Islam yang sebenar namun dia menolak dan selesa dengan gaya hidup santainya. Ibu bapanya terus-terusan menasihati dan berdoa agar anak lelaki mereka ini diberikan hidayah oleh Allah dan menjadi orang yang soleh.

Pada suatu hari ketika pemuda ini sedang duduk-duduk di jalanan bersama dengan rakan-rakannya, dia terlihat seorang gadis bertudung labuh berjalan pulang dari pengajian di surau. Dia terus terkesan dengan keanggunan dan akhlak gadis tersebut, hingga dia lupa usikan-usikan nakal yang sering dilontarkannya kepada pejalan-pejalan kaki yang sering lalu di hadapannya. Hatinya terpaut dengan gadis itu. Lantas dia bergegas pulang ke rumah dan memberitahu ibunya yang dia sudah punya calon untuk bernikah dan ingin berkahwin segera.

Cerah wajah si ibu melihat perubahan pada anaknya. Lantas dia memberitahu si bapa pula perihal anakanda mereka yang seorang itu. Mereka mengucap hamdalah dan gembira dengan keinginan anak mereka itu. Jauh di sudut hati, mereka mendoakan moga perubahan anak mereka ini berterusan dan terus-terusan berada dalam kebaikan.

Maka bertanya si bapa, “wahai anakku, siapa yang ingin kamu nikahi ini? Beritahulah agar aku dapat meminangnya untukmu”. Si anak menjawab, “ perempuan sekian-sekian bertudung labuh. Aku baru ketemunya pulang dari surau tadi”.

Si bapa pun menyelidik dan akhirnya mendapati bahawa gadis itu adalah anak kepada kiyai kampung seberang, teman sepengajiannya dahulu. Dia memberitahu isterinya, “Wah, ini sudah bagus. Orang tuanya adalah saudara sepengajianku. insyaAllah urusan peminangan dan penikahan anak kita ini akan menjadi lebih mudah”. “Ya, bapaknya. insyaAllah, kita doakan saja”.

Si bapa pun pergi berjumpa saudara sepengajiannya itu dan menyampaikan hasrat hati anaknya. Huluran peminangan itu disambut gembira oleh si kiyai kampung seberang. Setelah diberitahu kepada puterinya akan peminangan itu, si puteri diam dan tersenyum tanda setuju pada ayahandanya. Melihat si gadis setuju menerima pinangan itu, kedua kiyai itu terus menetapkan hari pernikahan anak mereka berdua. Masing-masing gembira menunggu hari di mana persaudaraan mereka berdua diperkukuhkan lagi atas pernikahan anak-anak mereka. Si kiyai kampung seberang, keluarganya dan masyarakat kampung seberang tidak tahu tentang kenakalan dan kelalaian si pemuda. Mereka menyangka bahawa anak kiyai itu pastinya orang yang soleh, malah pasti tinggi ilmu agamanya.

Hari pernikahan pun tiba. Pernikahan berlangsung pada malam jumaat, selepas solat isya’. Kedua-dua anak kiyai itu selamat diijabkabulkan dalam satu lafaz oleh si bapa gadis. Selesai akad, seluruh hadirin yang hadir di majlis itu mendoakan keberkatan rumahtangga mereka. Berbunga hati si kiyai kampung seberang melihat menantunya itu. Berdetik hatinya, “Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana anakku bukan saja dianugerahi dengan suami yang soleh, malah kacak dan manis wajahnya”. Dia tersenyum sendiri. Dia tidak tahu yang menantunya itu “nakal” orangnya.

Selesai majlis, kedua mempelai masuk ke kamar –sunnah pengantin baru. Si pemuda merapati isterinya. Pun begitu, si isteri berkata, “Mas, solat sunnat dahulu. Kita ikut jejak langkah Rasul dalam hal ini. Agar rumah tangga kita lebih barakah”. Terkedu si suami. Walau dia “nakal” selama ini, dia tidak pula membiasakan dirinya berbohong. Dia dengan jujur membalas, “Bagaimana mahu solat ya sayang? Aku sudah lama meninggalkan perkara itu. Malah, bacaannya juga aku tidak tahu”.

Terkejut si isteri. “Bukankah kau ini orang yang soleh anak kepada seorang kiyai?” “Ya, aku anak seorang kiyai namun aku tidak mewarisi kesolehan ibu bapaku,” balas si pemuda, kaget. Si isteri terkejut dan berisighfar. Oleh kerana dia gadis yang solehah, maka dia tidak panik dan tenang berucap, “wahai suamiku, ini adalah keaibanmu. Tidak ada seorang pun di kampung ini yang tahu perihalmu. Dan keaibanmu adalah keaibanku juga. Jangan kau biarkan perkara ini diketahui orang lain. Hanya Allah dan kita berdua saja tahu tentangnya.” Si suami mengangguk setuju.

“Mari ke sini biar aku ajarkan mas tentang solat, cara dan bacaannya,” pinta si isteri. Si suami mengikut. Maka penuhlah malam pertama mereka itu dengan pengajian tentang wudhu, solat dan bacaannya. Dari malam hingga ke pagi, si isteri gigih mendidik dan membimbing suaminya. Si suami pula tekun mengaji dan memahami apa yang diajarkan si isteri. Berakhir malam pengantin si pemuda itu dengan dia sudah menguasai wudhu, solat dan bacaannya (al-fatihah). Si isteri pun berkata, “Mas, sebentar lagi subuh. Bapa pasti akan ke masjid untuk solat subuh berjamaah. Kau ikut dia ya. Amalkan apa yang sudah aku ajarkan tadi. Sama jua dengan solat Jumaat nanti ya.” Si suami mengiyakan dan tersenyum.

Solat subuh itu, si bapa mengimami solat dan pemuda itu menjadi makmum di barisan pertama di belakang mertuanya. Sampai waktu zohor, maka si bapa sebagai kiyai pun naik menjadi khatib dan menyampaikan khutbahnya. Di akhir khutbah itu, dia memperkenalkan menantunya yang baru, anak kiyai saudara pengajiannya. Dia juga meminta si pemuda itu mengimamkan solat jumaat pada hari itu. Orang-orang kampung mengucap hamdalah dan masing-masing tertunggu-tunggu untuk solat berimamkan menantu kiyai itu.
Si pemuda kecut perut. Dia tidak menyangka yang dia akan diminta untuk mengimami solat sebesar solat Jumaat, walhal dia baru saja tahu selok belok solat itu. Oleh kerana tidak tahu untuk menolak, dia maju kehadapan lantas mengimami solat Jumaat itu. Dimulai dengan takbir, si pemuda membaca Al-Fatihah dengan suara yang merdu seperti yang diajar oleh isterinya:

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ
مَـالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ


Sampai ke ayat ke-6, pemuda itu terhenti. Ayat seterusnya, dia terlupa! Dia beristighfar, puas dia mengingat tapi ayat terakhir itu tidak menjelma di ingatan. Dia cuba mengingat dan mengingat hingga menangis, namun ayat terakhir ummul kitab itu tidak juga keluar.

Makmum sekaliannya menunggu imam dalam diamnya. Apabila si imam mula menangis, mereka pun menangis juga. Sangka mereka si imam sangat menghayati ayat-ayat yang dibacanya hingga menangis, maka mereka pun turut menangis. Seluruh masjid menangis dalam solat Jumaat pada hari itu.

Si pemuda dalam tangisnya mencari jalan. Dia perlu melakukan sesuatu. Akhirnya dia terlihat pintu di sebelah mihrab yang menghala keluar masjid. Akhirnya, dia berlari keluar dari masjid melalui pintu itu. Dia malu dengan seisi kampung. Dia berlari sekuat-kuatnya agar dia dapat lepas dari perhatian jemaah masjid itu.

Makmum seluruhnya apabila melihat si imam berlari keluar, maka mereka pun turut mengikut berlari dan mengejar imam tersebut. Mereka akhirnya berhenti di padang berhampiran masjid apabila si imam berhenti berlari gara-gara kepenatan. Mereka tertanya-tanya mengapa imam itu berbuat demikian. Belum sempat mereka bertanya, mereka dikejutkan oleh satu bunyi.

Kaboom!!! Semua mata di padang itu tercatuk kepada bangunan masjid yang runtuh. Masing-masing menelan liur. Andai mereka masih berada di dalam masjid itu sebentar tadi, tertimbuslah mereka di bawah runtuhan bangunan kayu itu. Semua mengucap hamdalah dan berterima kasih kepada si pemuda kerana berlari keluar dari masjid sejurus sebelum runtuhan itu dalam solatnya. Mereka bersyukur kerana pada sangkaan mereka, Allah memberi ilham kepada pemuda itu tentang runtuhnya masjid itu di dalam solatnya dan menyelamatkan mereka dari bencana itu.

Pemuda itu pucat dan keletihan. Si kiyai yang melihat wajah menantunya yang pucat itu,lantas menyambung dan mengimami solat Jumaat yang tergendala itu. Hari itu, mereka solat Jumaat di atas padang. Dalam solat itu, mereka mengucap syukur pada Tuhan yang Esa yang menyelamatkan mereka dari bencana itu. Selamatlah si pemuda dari terbuka keaibannya pada orang ramai.

Pemuda dan mertuanya pulang ke rumah. Si pemuda lantas menceritakan apa yang terjadi kepada isterinya. Isterinya mengucap hamdalah dan memuji-muji Allah atas apa yang terjadi. Si suami pun berkata, “demi Allah, aku ingin belajar agama. Aku tidak akan menyentuhmu hingga aku selesai belajar agama dan menguasainya.” Keesokannya, si pemuda pun memberitahu bapa mertuanya, “Ayahanda, anakanda ingin keluar menuntut ilmu. Anakanda ingin belajar untuk menampung kekurangan yang ada dalam diri anakanda.” Si bapa yang masih tidak tahu perihal menantunya itu pun mengizinkan dan menggalakkan. 5 tahun selepas itu, si menantu pulang dengan ilmu yang mantap dan fikiran yang faqih. Dia menjadi salah seorang ulama terbilang di zamannya, menggantikan bapa dan bapa mertuanya. Subahanallah.

Pendapat sesetengah ulama’ tentang runtuhnya masjid itu, adalah kerana Allah ingin menyimpan aib si pemuda dan keluarganya. Juga kerana Allah redha dan suka dengan penduduk kampung itu yang sentiasa bersangka baik dalam semua perkara. Lantas Allah mengutus malaikat untuk menekan masjid itu hingga runtuh, bagi menyimpan keaiban pemuda itu dan keluarganya, juga menyelamatkan seluruh isi kampung yang sangat bersangka baik sesama mereka. Wallahualam.

p/s: kisah benar rakyat ini di petik dari syarah Ustaz Muslim Mubarak di Curtin Musolla. Ustaz Muslim merupakan imam Masjid Hepburn, Padbury WA.

*copied from some1 blog..thanks ^^

1 comment:

Anonymous said...

best cter nie :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

::My Birthday::

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

BACALAH. KENALILAH. DENGAN BIJAKSANA. SIAPA AKU YANG SEBENAR.

Powered by Blogger.